Kapten Shanghai Port, Oscar memberi bayangan beliau akan kembali ke Brazil selepas tamat kontraknya bersama pasukan itu.
Selepas memilih menyertai The Red Eagles dengan yuran £60 juta (RM335 juta) dari Chelsea pada 2017, beliau telah merekodkan 236 penampilan, 72 gol dan 131 bantuan gol.
Ini termasuk aksi pertama Liga Timur Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) antara Shanghai Port dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) baru-baru ini. Perlawanan itu berkesudahan dengan keputusan seri 2-2.
Meskipun meraih pendapatan lumayan bersama The Red Eagles, Oscar merasakan sudah tiba masanya untuk beliau pulang dan kembali menjaga keluarganya di Brazil.
“Ibu saya semakin tua. Dan adik perempuan saya juga mempunyai anak. Jadi, kita mahu bersama (sebagai satu keluarga).
“Sepanjang lapan tahun kehidupan saya di China berjalan lancar. Kebimbangan utama saya ialah keselamatan. (Sukar) untuk berpindah meninggalkan pasukan kerana kualiti kehidupan di sini cukup bagus.
“Semuanya nampak selamat. Anak-anak saya menggunakan bas sekolah. Jadi, ianya selamat untuk pergi dan balik dari sekolah. Tiada masalah dadah sini. Ia satu dunia yang cukup berbeza,” katanya kepada Folha de Sao Paulo seperti dilaporkan SiamSport.
Oscar kekal bersama Shanghai Port sekurang-kurangnya sehingga Disember ini. Ini selepas beliau memeterai lanjutan kontrak selama sebulan dengan pasukan itu.
Ini bertujuan membantu pasukan itu mengharungi kempen ACLE sehingga aksi keenam Liga Timur.