Hasrat peminat bola sepak Malaysia melihat Osmar Barba mewarnai saingan Liga Malaysia (Liga M) tidak kesampaian hari ini.
Ini selepas bek tengah veteran Sepanyol itu mengesahkan perpindahannya ke kelab K-League 2, Seoul E-Land. Perpindahan itu diumumkan kelab berkenaan di Instagram rasmi mereka.
Sebelum ini, Barba merupakan legenda bagi kelab FC Seoul. Sepanjang sembilan tahun bersama pasukan itu, beliau merekodkan 344 penampilan, 25 gol dan 13 bantuan gol mengikut data Transfermarkt.
Sebaik perpindahan ini disahkan, Osmar berikrar akan membantu kelab itu layak ke saingan K-League 1 pada musim hadapan.
“Saya datang ke sini untuk mencipta sejarah baru di Seoul E-Land FC pada ulang tahun ke-10 penubuhannya.
“Saya mahu memastikan penyokong saya gembira dengan menunjukkan prestasi bagus. Tidak sabar berjumpa penyokong di stadium,” katanya.
Sebelum menyertai Seoul E-Land, Barba dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Liga M, Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Bagaimanapun, khabar angin perpindahan tersebut dinafikan oleh pengurus pasukan Kedah, Joe Rozi.
Osmar bukan satu-satunya pemain import baru di kelab berkenaan. Seoul E-Land turut merekrut pemain berdarah Greek-Australia, Peter Makrillos dan pemain sayap Brazil, Bruno Costa.