Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi jaminan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) boleh digunakan untuk aksi Pestabola Merdeka 2024 pada bulan hadapan.
Perkara ini dinyatakan sendiri Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed bila ditanya tentang keadaan padang untuk kejohanan berprestij berkenaan.
Kebimbangan ini timbul selepas isu padang SNBJ merencatkan kualiti beberapa aksi berprofil tinggi seperti final Piala Malaysia 2023 dan aksi kelayakan Piala Dunia 2026 pada Mac lalu.
Isu ini berlaku disebabkan penganjuran konsert beberapa artis ternama di SNBJ termasuk Coldplay dan Ed Sheeran.
Kualiti padang SNBJ yang teruk pada ketika itu bukan saja mengundang kecaman ramai pihak termasuk peminat Harimau Malaya. Malah, ini berpotensi menyebabkan kecederaan kepada pemain yang beraksi di atas padang.
Firdaus memberi jaminan padang SNBJ bukan saja lulus dari segi kualiti. Malah, padang berkenaan sudah bersedia digunakan untuk aksi berprofil tinggi seperti Pestabola Merdeka 2024.
“Keadaan padang lulus, saya boleh cakap lulus. Lulus atau sedia digunakan pada aksi Pestabola Merdeka,” katanya kepada media baru-baru ini.
Pestabola Merdeka 2024 bakal menampilkan juara bertahan Tajikistan, Filipina, Lubnan dan tuan rumah Malaysia. Kejohanan ini juga merupakan kejohanan pertama yang bakal ditempuh Pau Marti Vicente sebagai pemangku jurulatih Harimau Malaya.
Pestabola Merdeka 2024 turut dijadikan sebagai medan menguji keupayaan semua pasukan menjelang pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 yang berlangsung pada tahun hadapan.
Malaysia bakal membuka kempen Pestabola Merdeka 2024 dengan menentang The Azkals pada 4 September ini. Manakala Tajikistan pula menentang The Cedars pada hari yang sama.
Pemenang dua aksi berkenaan bakal bertemu di final bagi menentukan siapa juara Pestabola Merdeka 2024. Manakala pasukan yang tewas pula bakal berentap untuk penentuan tempat ketiga.