Pasukan kebangsaan Palestin menghargai jasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menyediakan fasiliti terbaik semasa keberadaan mereka di Malaysia.
Baru-baru ini, Palestin telah menggunakan Stadium Cheras bagi aksi pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang naib juara Piala Asia, Jordan.
Pasukan bimbingan Makram Dabboub telah tiba di Malaysia sejak 26 Ogos lalu dan menjalani persiapan aksi pertama peringkat kumpulan menentang Korea Selatan di sini.
The Knights juga sempat mengadakan aksi persahabatan menentang pasukan Liga Super, PDRM FC dan mencatatkan kemenangan 2-1 dalam satu aksi tertutup.
Palestin menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak FAM dan rakyat Malaysia atas sambutan yang cukup baik dan menyediakan segala kemudahan untuk mereka berlatih di sini.
“Sejak kita datang ke Malaysia, kita merasa dialu-alukan oleh rakyat Malaysia. Kami menjemput mereka untuk menghadiri perlawanan di stadium.
“Terima kasih banyak-banyak kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan rakyat Malaysia,” jelas Makram Dabboub kepada media.
Malah, penjaga gol Palestin iaitu Rami Hamada menyatakan keterbukaan untuk menyertai mana-mana kelab di Liga Malaysia sekiranya diberikan peluang.
”Jadi, Rami berkata, beliau tidak bermain untuk mana-mana pasukan kelab sejak November tahun lalu dengan apa yang berlaku di Palestin,” kata penterjemah yang mewakili Rami.
Rami yang tampil cemerlang membantu Palestin mengikat Korea Selatan minggu lalu menyatakan rasa gembiranya sekiranya terdapat tawaran dari kelab yang beraksi di Liga Malaysia.
”Sekiranya terdapat sebarang tawaran dari mana-mana pasukan di Malaysia, beliau berasa sangat gembira,” kata penterjemah tersebut kepada pihak media.
Iraq bakal jadi lawan ketiga Palestin pada peringkat kumpulan kira-kira satu bulan dari sekarang.