Pandangan Menarik Azmeer Yusof Berkaitan Pemain Warisan
MakanBola
Azmeer Yusof/ Malaysia NT

Bekas tonggak Kedah, Azmeer Yusof ada pandangan tersendiri mengenai kehadiran pemain warisan yang memperkuatkan skuad Harimau Malaya baru-baru ini.

Azmeer yang sudah tidak beraksi bola sepak secara profesional menganggap pemain-pemain warisan ini secara fizikal adalah sama dengan pemain tempatan namun yang membezakan adalah cara berfikir.

“Mereka ni (pemain warisan) sama saja macam kita. Dua tangan, dua kaki, dua mata, dua telinga, satu hidung, satu mulut, satu lidah. In syaa Allah sama sahaja fizikal kita dengan mereka. Yang membezakan kita dengan mereka ialah cara kita berfikir, cara kita bertindak dan cara kita buat keputusan.

“Mereka berfikir 3 ke 4 langkah ke hadapan. Sebelum mereka terima bola di kaki, mereka sudah berfikir apa yang hendak dibuat. Sebelum opponent bertindak, mereka sudah bertindak terlebih awal hingga membuatkan mereka sudah 2 ke 3 langkah di hadapan opponent,” jelas Azmeer seperti yang dikongsikan di laman Facebook.

Azmeer turut melihat perkara lain yang membezakan pemain warisan dan tempatan ialah ketenangan mereka ketika diasak pasukan lawan.

“Cara sepak sama, guna bahagian depan kasut bola. Tanduk pun sama guna dahi. Mendada pun sama guna dada. Sliding tackle pun sama kena rebahkan badan. Yang tak sama kita dengan mereka ialah ketenangan. Mereka ni bahaya macam mana pun kadang-kadang cool lagi. Tapi kita ni dalam otak tahu nak clear je,” coretnya lagi.

Dalam masa sama, Azmeer menyeru agar semua pihak berhenti bergaduh tentang isu pemain warisan. Yang bersetuju, kita raikan. Yang tak bersetuju pun turut diraikan. Pendapat masing-masing.

Dalam dunia bola sepak, kejayaan bukan hanya ditentukan oleh bakat dan fizikal semata-mata. Cara berfikir, membuat keputusan dan ketenangan di atas padang memainkan peranan besar.

Pandangan Azmeer ini wajar dijadikan refleksi bukan saja untuk pemain, tetapi juga penyokong. Kita mungkin berbeza pendapat, tapi demi bola sepak Malaysia, kita tetap satu pasukan.