Masa depan bekas pengendali Vietnam, Park Hang-seo masih belum terungkai ketika ini.
Jurulatih berpengalaman itu masih tidak melatih mana-mana pasukan selepas meninggalkan skuad Bintang Emas pada Januari 2023.
Hang-seo kini bergelar penasihat kepada kelab Bac Ninh di Vietnam namun difahamkan masih mencari destinasi terakhirnya dalam era kejurulatihan.
Beliau sebelum ini dikaitkan ke India dan Kemboja namun tidak menjadi kenyataan sekaligus menyaksikan peluang mana-mana negara untuk mengambilnya masih lagi terbuka.
Menerusi laporan dari media Vietnam, Tuoi Trenews memaklumkan bahawa gaji Hang-seo bersama pasukan Bintang Emas itu mencecah AS$50,000 (RM218,000) sebulan selepas cukai.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Dato’ Hamidin Mohd Amin memberitahu bahawa bekas pembantu jurulatih Korea Selatan itu merupakan salah seorang calon jurulatih Harimau Malaya.
“Park Hang-seo salah satu daripada calon jurulatih,” jelas Hamidin.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi memaklumkan bahawa badan induk tersebut sanggup untuk membayar gaji sehingga RM200,000 asalkan jurulatih itu mampu meningkatkan kualiti skuad kebangsaan.
“Kita bukan (berbicara) soal gaji, kita nak sekarang ni jurulatih yang mampu bawa kita ke satu tahap lain.
“Kalau kita ada yang bergaji RM100,000 tak boleh bawa ke mana lebih baik bayar gaji RM200,000 tapi boleh bawa kita jauh,” jelasnya ketika ditemui di Wisma FAM.
Setakat ini, tiada perkembangan lanjut mengenai masa depan Hang-seo tatkala beliau antara jurulatih berpofil tinggi yang masih boleh diambil oleh Malaysia.