Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Dato’ Hamidin Mohd Amin memberitahu bahawa Park Hang-seo merupakan salah seorang calon jurulatih Malaysia.
Skuad kebangsaan kini dibimbing oleh pengendali Sepanyol, Pau Marti Vicente beraksi cemerlang apabila menundukkan Lubnan untuk muncul juara Pestabola Merdeka 2024.
Beliau bagaimanapun mahu memberikan ruang sepenuhnya buat Pau Marti untuk mengemudi skuad kebangsaan sehingga Disember ini.
Hal ini selepas beliau berjaya membentuk acuan terbaik dan mengekalkan rekod 100 peratus kemenangan sejak membimbing Malaysia.
“Kita berikan tempoh sehingga bulan 12 kepada Pau Marti. Ini peluang buatnya untuk menjadi Acting Head Coach. Setelah pemergian Kim Pan-gon, ramai jurulatih yang telah mengubungi saya.
“Banyak nama-nama besar yang menghubungi saya. Park Hang-seo salah satunya. Akan tetapi, kita berilah peluang kepada Pau Marti terlebih dahulu.
Hamidin memberitahu bahawa pihaknya sudah mendapatkan pandangan daripada pakar luar negara dalam meneliti calon jurulatih daripada luar negara ketika ini.
“Saya memberi ruang kepada Pau Marti tetapi dalam masa yang sama, saya sedang melakukan kerja saya dengan mendapat nasihat daripada pakar teknikal dari luar negara,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM.
Sebagai rekod, Hang-seo kini berkhidmat sebagai Penasihat buat kelab Divisyen Dua Vietnam, Bac Ninh sehingga kini.
FAM juga mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya 4 calon dari luar negara telah mendapat perhatian yang berpotensi untuk membimbing skuad kebangsaan.
Skuad negara kini menghuni tangga ke-132 dunia dan menjadi pasukan ke-4 terbaik di Asia Tenggara di belakang Thailand (100), Vietnam (116) dan juga Indonesia (129).