Bekas jurulatih Vietnam, Park Hang-seo dilaporkan semakin menghampiri kedudukan pengendali baharu skuad kebangsaan India.
Jawatan tersebut kosong selepas Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) memilih menamatkan khidmat jurulatih Croatia, Igor Stimac baru-baru ini. Keputusan itu dibuat meskipun jurulatih berusia 56 tahun itu masih memiliki kontrak sehingga tahun 2026.
AIFF memecat Stimac susulan kegagalan The Blue Tigers gagal layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.
Sebaik saja jawatan tersebut kosong, ASEAN Football melaporkan AIFF telah menerima permohonan daripada 291 orang jurulatih.
Antara nama yang dilaporkan menyatakan minat ialah Hang-seo, Philippe Troussier, Ashley Westwood, Owen Coyle, Winfried Schafer dan Akira Nishino.
Hang-seo dilihat antara calon utama disebabkan pelbagai kejayaan yang dicapai bersama Vietnam dari 2017 hingga 2022.
Antara pencapaian tersebut ialah bergelar juara ASEAN Championship 2018 dan membawa Vietnam layak ke suku akhir Piala Asia 2019.
Selain India, Malaysia juga sebelum ini berminat mendapatkan khidmatnya sebagai jurulatih Harimau Malaya sebelum memilih Kim Pan-gon.
Perkara ini dinyatakan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin pada penghujung tahun 2023.