Final pusingan pertama Piala AFF 2022 Vietnam-Thailand berakhir dengan keputusan seri 2-2. Tetapi perlawanan semalam penuh dengan insiden termasuk tindakan jurulatih Vietnam, Park Hang-seo mengamuk terhadap pengadil Korea Selatan, Ko Hyung-jin selepas tamat perlawanan.
Selepas tamat perlawanan, Hang-seo dan jurulatih Thailand, Mano Polking bersalaman sebelum kemudiannya menuju ke arah pengadil perlawanan.
Bekas jurulatih Jeonnam Dragons yang naik angin itu kemudiannya menuduh Hyung-jin tidak berlaku adil kepada skuad Naga Emas. Dia turut melempar jaket dan kad pengenalan kejohanan terhadap salah seorang penolongnya.
Insiden ini disaksikan para penyokong, pemain simpanan dan staf kedua-dua pasukan termasuk Polking. Setelah itu, Hang-seo kemudiannya segera berjalan ke padang dengan niat mendekati pengadil perlawanan.
Tetapi selepas dipujuk seorang pembantunya agar tidak menghampiri Hyung-jin, dia kemudiannya bertenang dan memakai semula jaketnya sebelum masuk bilik persalinan.
Kemarahan jurulatih Vietnam itu berkemungkinan tercetus selepas Hyung-jin gagal menangani insiden pertelagahan kapten skuad Gajah, Theerathon Bunmathan dengan Que Ngoc Hai.
Bagi Hang-seo, Theerathon sepatutnya dikenakan kad kuning dan bukan Ngoc Hai. Tetapi dia tidak sedar ulang tayang menunjukkan pemain pertahanan Song Lam Nghe An didapati hampir menumbuk bek kiri Buriram United itu.
Bila ditanya kenapa dia hilang sabar selepas perlawanan, Hang-seo menjawab, “Vietnam tidak dapat menang, itu sebab saya marah.”
Vietnam bakal berdepan Thailand di Stadium Thammasat pada 16 Januari ini untuk pusingan kedua final Piala AFF 2022. Ini bagi menentukan siapa juara edisi kali ini.