Park Hang-seo Terima Tawaran Menarik Bimbing Kemboja
MakanBola
Vietnam FF

Bekas pengendali Vietnam, Park Hang-seo kini menjadi buruan beberapa pasukan yang mahukan khidmatnya sebagai jurulatih.

Selepas India sebelum ini berminat mendapatkan jurulatih berusia 66 tahun itu, kini wakil Asia Tenggara, Kemboja juga mahukan khidmat Hang-seo.

Agensi berita Yonhap melaporkan agensi pengurusan yang mewakili Hang-seo, DJ Management sedang menilai beberapa tawaran yang dikemukakan kepadanya. DJ Management turut mengesahkan The Blue Tigers dan Kouprey antara pasukan yang berminat mendapatkan khidmatnya.

“Jurulatih Park amat bersyukur dengan setiap tawaran yang dibuat. Beliau masih berfikir tentang semua tawaran yang dinyatakan dan ingin melihat dengan ruang masa yang ada,” katanya.

Hang-seo amat dikenali selepas tempoh cemerlang bersama Vietnam dari tahun 2018 hingga awal tahun 2023. Beliau bukan saja membantu pasukan itu bergelar juara ASEAN Championship 2018 dan pingat emas Sukan SEA sebanyak dua kali.

Malah, Hang-seo juga membimbing Pahlawan Bintang Emas layak ke suku akhir Piala Asia 2019 dan separuh akhir Sukan Asia 2018.

Impak besarnya terhadap bola sepak Vietnam turut diiktiraf kerajaan Korea Selatan di mana beliau dianugerahkan Pingat Heungin. Ini sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada Hang-seo kerana mengeratkan hubungan diplomatik antara Korea Selatan dengan Vietnam.

Selepas meninggalkan Vietnam pada awal tahun 2023, bukan sekali namanya dikaitkan dengan kekosongan jawatan sebagai jurulatih pasukan. India dilaporkan berminat mendapatkannya sebagai pengganti jurulatih Croatia, Igor Stimac.

DJ Management turut memaklumkan Kemboja berharap dapat memuktamadkan perlantikan Hang-seo sebelum kempen ASEAN Championship 2024 bermula.