Bekas bek tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Park Jun-heong memilih menyertai kelab Indonesia, Persik Kediri.
Perpindahan bek tengah Korea Selatan itu diumumkan pengurusan kelab yang diberi jolokan Macan Putih di semua platform rasmi mereka.
“Selamat datang. Tembok kukuh dari Korea Selatan kini siap memperkuat barisan pertahanan Macan Putih musim ini. Selamat datang, Park Jun-heong!” kata kelab dalam satu kenyataan.
Perpindahan ini sekaligus menamatkan teka-teki destinasi Jun-heong selepas meninggalkan JDT pada akhir musim lalu. Sebelum ini, bekas bek tengah Ratchaburi itu dikaitkan dengan perpindahan ke Kuching City FC.
Jun-heong menjadi tonggak import terbaru Persik selepas bekas penyerang Persib Bandung, Sergio Castel. Kehadiran beliau ditagih jurulatih Persik, Marcos Reina untuk memperkukuh benteng kelab itu menjelang musim 2026/27.
Menariknya, Jun-heong bakal berdepan ramai bekas bintang Liga Malaysia (Liga M) yang kini menabur bakti bersama pasukan-pasukan Super League. Antaranya ialah dua bekas pemain JDT, Moussa Sidibe dan Jordi Amat.
Sidibe dan Amat masing-masing kini menabur bakti bersama Bhayangkara dan Persija Jakarta.
Enam bekas pemain Terengganu FC iaitu Makan Konate, David da Silva, Gabriel Silva, Diego Landis, Careca dan Yann Mabella masing-masing mewakili Isenmulang Kalteng, Java United, Arema FC dan Persebaya Surabaya.
Mabella beraksi bersama bekas penyerang DPMM FC, Ramadhan Sananta. Dua bekas bintang Liga M iaitu Luciano Guaycochea dan Saddil Ramdani pula mewakili juara liga musim lalu, Persib Bandung.