Park Jun-heong Ucap Selamat Tinggal Kepada JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Bek tengah Korea Selatan, Park Jun-heong mengucapkan selamat tinggal kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Perkara ini dikongsikan pemain pertahanan tinggi lampai berusia 33 tahun itu menerusi satu hantaran di Instagram. Jun-heong menghargai pengalaman menarik bersama Harimau Selatan sepanjang dua musim.

Bekas bek tengah Ratchaburi itu turut menghargai peluang yang diberi DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

“Masa yang saya dapat luangkan di sini bukan sekadar pengalaman, ia satu perjalanan yang berharga di mana saya belajar, berkembang dan memperoleh ilmu yang banyak. Saya amat menghormati dan berterima kasih atas kepimpinan, falsafah, dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh TMJ.

“Saya juga mendapat inspirasi daripada kakitangan kejurulatihan dan pemain yang penuh semangat, kemesraan rakyat Malaysia dan semangat serta perpaduan luar biasa yang ditunjukkan oleh penyokong JDT. Kenangan ini akan kekal bersama saya untuk masa yang lama,” katanya.

Jun-heong turut memaklumkan meskipun tempohnya bersama JDT telah berakhir, beliau akan sentiasa mengingati pasukan gergasi selatan tanah air itu.

“Saya mengucapkan terima kasih yang tulus ikhlas kepada semua pihak yang telah memberi saya peluang yang bermakna, pengalaman yang berharga dan hubungan yang indah.

“Walaupun tempoh kita bersama berakhir di sini, saya akan sentiasa membawa ilmu, nilai, dan kenangan yang saya peroleh dari tempat ini bersama saya.

“Terima kasih untuk segalanya dan saya akan sentiasa menyokong JDT dan semua yang terlibat dalam perjalanannya. Saya sayang anda semua. Terima kasih,” tambahnya.

Jun-heong merekodkan 39 penampilan dan lapan bantuan gol bersama JDT dalam tempoh dua musim. Nama beliau kini dikaitkan dengan naib juara Liga Super musim lalu, Kuching City FC.

Jun-heong mengecapi trofi Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih bersama JDT dalam tempoh sama.