Bekas orang besi Sabah FC, Park Tae-su dilaporkan bakal kekal beraksi dalam Liga Super musim hadapan.
Sebelum ini, Tae-su menjadi sebahagian daripada 13 pemain yang tidak dikekalkan Sang Badak pada akhir musim 2024/25.
Susulan itu, ramai penyokong ingin tahu destinasi baharu bekas kapten Sabah itu. Persoalan itu akhirnya terjawab menerusi khabar angin perpindahan yang dikongsikan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Beliau memaklumkan Tae-su semakin hampir memuktamadkan perpindahan ke PDRM FC untuk kempen 2025/26.
“Bekas pertahanan Sabah FC, Park Tae-Su difahamkan hampir pasti menjadi rekrut terbaru PDRM FC bagi hadapi saingan Liga M musim 2025/26.
“Sepanjang bersama Sabah, Park telah tampil dalam 106 perlawanan, mencetak 20 jaringan serta 9 bantuan jaringan,” katanya di X.
Sekiranya perpindahan tersebut berjaya dimuktamadkan, Tae-su bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas tonggak import The Cops, Faith Obilor.
Musim 2025/26 menyaksikan PDRM hanya mengekalkan Fadi Awad dan Kyaw Min Oo sebagai tonggak import. Selain Tae-su, PDRM juga dilaporkan mendapatkan jeneral tengah Jordan, Ahmed Israiwah.