Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) bakal membuat rombakan ke atas Singapore Premier League (SPL) pada musim hadapan.
Ini selepas badan induk bola sepak Singapura itu mengeluarkan pengumuman Request for Proposal (RFP) kelab ke-10 SPL di laman sesawang rasmi mereka pada 6 Disember lalu.
FAS berbuat demikian kerana mahu menambahbaik kualiti SPL termasuk menarik lebih ramai pemain berbakat beraksi di liga berkenaan.
Ketika ini, SPL memiliki sembilan pasukan termasuk dua pasukan jemputan, Albirex Niigata Singapura dan DPMM (Brunei Darussalam).
Mana-mana kelab yang berminat diminta menghantar e-mel kepada FAS sebelum 6.00 petang, 20 Disember ini.
Dari situ, kelab-kelab yang berminat perlu menyediakan kertas cadangan terperinci yang mengikut peraturan SPL dan Peraturan Lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Mereka diberi tempoh empat minggu untuk menghantar kertas cadangan untuk dipertimbangkan oleh FAS. Sekiranya proses berjalan lancar, identiti pasukan ke-10 SPL bakal diketahui tidak lama lagi.
Kehadiran pasukan jemputan dalam saingan SPL bukan perkara baru sejak ia dibentuk di bawah nama S-League pada tahun 1996.
Antara pasukan jemputan antarabangsa yang pernah memeriahkan saingan SPL ialah Etoile, Sporting Afrique dan Beijing Guoan Talent.
Malah, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut menghantar Harimau Muda A dan Harimau Muda B menyertai SPL masing-masing pada 2012 dan 2013-2015.