Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin mendedahkan khidmat pelumba negara, Hakim Danish Ramli mula diintai pasukan-pasukan Moto2.
Perkara ini didedahkan Zulfahmi selepas Hakim Danish tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa selepas selesai perlumbaan Moto3 di Jerman.
Bekas pelumba negara itu berpandangan beliau lebih gemar melihat pelumba berusia 18 tahun itu kekal dalam saingan Moto3 buat masa ini.
Pada masa sama, Zulfahmi melihat sebarang keputusan yang dibuat perlu dibuat dengan bijak dan tidak mengganggu matlamat jangka panjang Hakim Danish.
“Sudah tentu saya melihat peluang yang ada dan meneliti beberapa perkara yang boleh membantu meningkatkan lagi perkembangan Danish pada masa depan.
“Saya perlu berbincang secara terperinci kerana keputusan ini tidak boleh dibuat mengikut emosi atau semata-mata melihat tawaran wang. Dalam sukan permotoran, kita perlukan perancangan jangka panjang dan persekitaran pasukan yang baik.
“Hakim Danish hanya perlu fokus kepada tugasnya sebagai pelumba, manakala saya akan memainkan peranan mencari pasukan terbaik untuknya,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.
Meskipun baru pertama kali menyertai Moto3, Hakim Danish menjadi bualan peminat sukan negara. Ini selepas beliau meraih satu podium dan satu kemenangan dalam saingan tersebut untuk musim 2026.