Advertisements
Pau Marti: Aksi Lawan New Zealand Jadi Pengajaran
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente menyifatkan aksi persahabatan menentang New Zealand pada Oktober lalu memberi pengajaran berguna buat pasukan itu.

Malaysia mengharungi satu aksi persahabatan antarabangsa di Auckland pada bulan tersebut dengan All Whites. Ini kali pertama kedua-dua pasukan bertemu sejak Februari 2006.

Keinginan Harimau Malaya mengulangi kejutan menewaskan New Zealand pada 1999 tidak berhasil apabila pasukan itu tewas 4-0. Elijah Just, Matthew Garbett, Chris Wood dan Logan Rogerson mencetak nama sebagai penjaring dalam perlawanan itu.

Pau Marti menyifatkan aksi tersebut banyak memberi input berguna kepada Harimau Malaya. Ini kerana aksi berkenaan bukan saja mempersiapkan Malaysia berdepan lawan berkualiti dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2027.

Malah, ini membantu barisan kejurulatihan Harimau Malaya untuk membentuk pasukan yang mantap terutama menjelang ASEAN Championship 2024.

“Ya, saya fikir saya sudah bercakap dengan semua pemain kita tak boleh lupakan perlawanan ini. Saya tak setuju kita perlu lupakan perlawanan apabila ia sudah berakhir.

“Saya fikir kita harus kekalkan perlawanan tersebut dalam minda kita sebagai cara untuk penambahbaikan kita. Kita bermain menentang pasukan yang berkualiti. Kita sudah mencuba yang terbaik.

“Saya fikir kita perlu tambah baik dalam beberapa bahagian. Itu sebab kita gunakan aksi tersebut sebagai rujukan,” katanya kepada media di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Pau Marti turut menyifatkan aksi jelajah di New Zealand memberi pengalaman positif kepada Harimau Malaya berdasarkan kualiti lawan mereka.

Ini kerana New Zealand bukan saja mempamerkan prestasi mantap hasil dukungan ramai pemain yang berpangkalan di Eropah. Malah, kelab Auckland FC yang menjadi lawan pertama skuad negara di New Zealand turut menunjukkan prestasi baik dalam saingan A-League ketika ini.

“Saya fikir (aksi itu bukan mudah) jika anda melihat persembahan pasukan ini, dengan ramai pemain beraksi di Eropah dan Chris Wood penjaring terbanyak (Nottingham Forest) di EPL.

“Malah, Auckland juga menerajui liga di Australia. Jadi, bagi kita, ia satu pengalaman yang positif berdepan cabaran ini.

“Ini kerana macam saya katakan, apabila kita menghadapi kelayakan Piala Asia, kita akan berdepan (pasukan) dengan corak permainan sebegini di tempat lawan. Saya fikir itu sebab kita perlu jadikan ia sebagai rujukan dan jadi lebih baik,” ujarnya.

Malaysia kini mengatur persiapan untuk dua aksi persahabatan antarabangsa. Skuad negara akan menentang Laos di Bangkok, Thailand pada 14 November.

Ini disusuli aksi persahabatan antarabangsa menentang India di Hyderabad pada 18 November ini. Kedua-dua aksi ini dijadikan sebagai medan persiapan untuk pusingan kelayakan Piala Asia 2027 dan ASEAN Championship 2024.