Jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente mendedahkan punca sebenar membuat sebanyak enam pertukaran bagi menghadapi Lubnan pada aksi final Pestabola Merdeka 2024.
Untuk rekod, Pau Marti telah meletakkan enam pemain kesebelasan utama ketika bertemu Filipina tempoh hari di barisan simpanan. Pemain yang dimaksudkan ialah Arif Aiman, Akhyar Rashid, Feroz Baharudin, Daniel Ting dan Paulo Jouse manakala Afiq Fazail tidak tersenarai gara-gara kecederaan.
Pau meletakkan pemain-pemain lain seperti Safawi Rasid, Corbin Ong, Endrick Dos Santos, Syafiq Ahmad, Nooa Laine dan Dominic Tan dalam kesebelasan utama bertemu Lubnan.
Bagi jurulatih kelahiran Sepanyol itu, beliau mahu memberikan mesej kepada semua bahawa kesemua pemain yang dipanggil ke kem kebangsaan adalah pemain-pemain yang sememangnya layak membawa nama Malaysia.
“Saya rasa tiada rahsia (tukarkan enam pemain). Saya rasa ini mesej kepada semua bahawa semua pemain yang dipanggil layak beraksi (buat Malaysia).
“Dalam perlawanan pertama dan kedua, kami cuba tunjukkan bahawa semua pemain adalah penting buat pasukan,” jelas Pau Marti ketika ditemubual Astro Arena selepas perlawanan.
Pada aksi final, Romel Morales menjadi wira buat Malaysia selepas pemain naturalisasi itu meledak gol tunggal bagi memberikan kemenangan 1-0 buat Malaysia menewaskan Lubnan.
Kemenangan ini sekali gus menamatkan rekod buruk Malaysia yang melalui 25 perlawanan tanpa kemenangan ketika bertemu pasukan dari arab bagi tempoh 10 tahun kebelakangan ini.