Advertising
Pau Marti: Harimau Malaya Berhak Mendapat Kemenangan
MakanBola
FA Malaysia

Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente mengakui pasukannya sepatutnya dapat meraih kemenangan ke atas Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan A ASEAN Championship 2024.

Malaysia turun menghadapi The Lions untuk misi hidup mati pasukan itu dalam saingan ASEAN Championship 2024. Skuad negara perlu menang jika ingin mengiringi Thailand ke peringkat separuh akhir.

Ad

Sebaik wisel perlawanan ditiup di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), anak buah Pau Marti berusaha menembusi gawang Singapura yang dikawal Izwan Mahbud.

Ad

Peluang keemasan Harimau Malaya hadir pada separuh masa kedua menerusi Daniel Ting, Paulo Josue dan Harith Haiqal Adam Afkar tetapi tidak membuahkan hasil.

Pada masa sama, kecekapan penjaga gol Haziq Nadzli menafikan beberapa percubaan The Lions memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Itu juga sudah cukup buat Singapura mengiringi Thailand selaku naib juara Kumpulan A.

Ad

Pau Marti melihat barisan anak buahnya bekerja keras di atas padang untuk memburu kemenangan tetapi tuah tidak memihak Harimau Malaya.

Ad

“Ianya menyedihkan untuk mengakhiri kempen seperti ini. Pasukan (Harimau Malaya) berhak mendapat lebih (kemenangan) malam ini.

Ad

“Saya fikir dalam permainan, kita tak dapat lakukan lebih untuk mendapatkan kemenangan,” kata jurulatih Sepanyol itu dalam sidang media pasca-perlawanan.

Pau Marti turut memuji sokongan yang diberi rakyat Malaysia kepada Harimau Malaya sepanjang kempen ASEAN Championship 2024.

Ini kerana mereka sentiasa ada bersama pasukan itu tidak kira dalam keadaan senang mahupun susah. Beliau percaya itu sebagai satu faktor positif buat bola sepak negara.

“Mereka menunjukkan rasa hormat terhadap usaha yang ditampilkan para pemain dalam tempoh dua minggu (ASEAN Championship 2024).

“Sesiapa saja bila berada dalam keadaan sukar, kita kekal bersama terutamanya pada akhir perlawanan bersama para penyokong di Bukit Jalil. Saya fikir ini sesuatu yang positif buat bola sepak Malaysia,” tambahnya.

Keputusan ini menandakan berakhirnya era Pau Marti sebagai pengendali Harimau Malaya. Peranan itu bakal digalas bekas jurulatih FC Tokyo, Peter Cklamovski.

Jurulatih Australia itu bakal memulakan tugas sebagai jurulatih Harimau Malaya pada 1 Januari 2025. Beliau bakal disertai pengendali baharu skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Nafuzi Zain yang mula bertugas pada tarikh sama.