Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente memaklumkan sebab beliau meninggalkan Harimau Malaya.
Jurulatih muda berusia 44 tahun itu membimbing Harimau Malaya bermula Ogos lalu dan bakal menggalas tugasan terakhir bagi kempen Piala ASEAN kali ini.
“Saya ingin memaklumkan bahawa Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 akan menjadi tugasan terakhir saya sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.
“Keputusan ini dibuat susulan komunikasi dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), berhubung penstrukturan semula Pengurusan Pasukan Kebangsaan.
Penstrukturan semula badan induk tersebut menyaksikan beliau dan barisan kejurulatihan bakal meninggalkan pasukan kebangsaan akhir tahun ini.
“Sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula ini, ketua jurulatih dan barisan kejurulatihan Harimau Malaya yang baharu akan dilantik untuk kempen Kelayakan Piala Asia 2027 mulai tahun depan,” jelasnya dalam satu kenyataan oleh FAM.
“Berikutan itu, saya dan barisan kejurulatihan akan menamatkan perkhidmatan kami bersama skuad Harimau Malaya pada akhir kempen Piala Mitsubishi Electric ASEAN,” tambahnya.
Antara pencapaian terbaik beliau adalah ketika membantu Harimau Malaya untuk menjulang Pestabola Merdeka 2024 selepas menundukkan Lubnan dengan keputusan 1-0.
Perjuangan Pau dan skuad negara diteruskan apabila bakal membuka tirai menentang Kemboja pada 8 Disember ini di Phnom Penh.