Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente melihat aksi kedua ASEAN Championship 2024 menentang Timor Leste sebagai medan terbaik untuk menebus kehampaan pasukan itu.
Usaha Malaysia untuk membuka kempen kejohanan dengan tiga mata penuh tidak kesampaian dalam aksi pertama Kumpulan A. Aksi itu menyaksikan Malaysia diikat 2-2 dengan Kemboja di Phnom Penh pada 8 Disember lalu.
Stuart Wilkin membuka tirai jaringan pada separuh masa pertama. Kedudukan Malaysia goyah apabila Kemboja menyumbat dua gol menerusi Abdel Kader Coulibaly dan Sa Ty.
Penyerang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Fergus Tierney memastikan Malaysia meraih satu mata menerusi rembatan pada minit ke-74.
Selepas melihat Timor Leste dibelasah 10-0 oleh Thailand, Pau Marti merasakan ini peluang buat Harimau Malaya untuk mempamerkan aksi terbaik di hadapan penyokong setia mereka.
“Aksi (menentang Timor Leste) ini amat penting. Ini bukan aksi persahabatan, ini kejohanan antarabangsa. Kita mahu pergi jauh dan kita mahu mendapatkan tiga mata.
“Aksi menentang Kemboja, kita terlepas peluang mendapatkan tiga mata. Saya fikir ia satu aksi yang sukar dan atmosfera yang baik, jadi saya harap kita dapat wujudkan atmosfera yang baik di sini di stadium kita.
“Bagi saya, sasaran kita ialah stadium penuh untuk menyokong kita bila berdepan Singapura dalam aksi terakhir kumpulan. Itu akan menjadi ganjaran terbaik kita sepanjang kejohanan. Sudah tentu kita mahu menang tetapi kita juga mahu beraksi di hadapan penyokong kita,” katanya dalam sidang media praperlawanan.
Malaysia bakal bertemu dengan Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Disember ini.