Pengendali skuad senior Malaysia, Pau Marti Vicente melihat peluang pasukan itu untuk layak ke separuh akhir ASEAN Championship 2024 masih lagi terbuka.
Aksi ketiga Kumpulan A ASEAN Championship 2024 menyaksikan Harimau Malaya berentap dengan Thailand pada 14 Disember lalu.
Aksi tersebut menyaksikan skuad Gajah Perang meraih kemenangan tipis 1-0 menerusi gol penyerang Muangthong United, Patrik Gustavsson pada separuh masa kedua.
Keputusan ini turut menyaksikan Malaysia berada di tangga ketiga dengan empat mata. Skuad negara ketinggalan dua mata di belakang Thailand dan Singapura yang berkongsi enam mata.
Pau Marti menyifatkan peluang skuad negara untuk layak masih lagi terbuka walaupun tewas kepada Thailand. Ini kerana dalam kejohanan antarabangsa, apa saja boleh berlaku.
Beliau melihat persembahan yang ditampilkan Harimau Malaya dalam aksi berkenaan mampu menjadi pemangkin buat pasukan itu menjelang aksi terakhir Kumpulan A.
“Kita menang menentang Timor Leste tetapi perasaannya tidak enak. Sudah tentu kita tidak merasa gembira kerana gagal meraih mata. Tapi kita kena bangga dengan diri kita.
“Dan sekali lagi, kita kena ingatkan ini satu kejohanan antarabangsa dan kita masih ada satu perlawanan lagi (aksi menentang Singapura) yang perlu dihadapi.
“Saya fikir peluang kita masih lagi terbuka. Saya fikir persembahan (menentang Thailand) ini boleh dibawa ke aksi seterusnya,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan.
Meskipun tewas, Pau Marti tetap bangga dengan persembahan barisan anak buahnya bila berdepan Thailand di Stadium Rajamangala.
“Saya fikir setiap perlawanan berbeza dan sukar untuk dibandingkan. Kita terima (keputusan) aksi terakhir (aksi menentang Thailand) bukanlah sesuatu yang kita mahukan.
“Tapi kita juga tahu kita beraksi dengan lebih baik. Kita tunjukkan kita tidak takut menentang pasukan besar, beraksi di stadium besar dan sesetengah orang menentang kita.
“Saya fikir di atas padang, kita turut tunjukkan kita boleh menyerang dan bertahan bila menentang Thailand pada malam ini,” ujarnya.
Malaysia kini mengharapkan Thailand untuk meraih kemenangan ke atas Singapura apabila kedua-dua pasukan itu berentap pada 17 Disember ini.
Ini kerana ini menjadikan aksi Harimau Malaya menentang The Lions di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 20 Disember ini sebagai penentu kemaraan ke peringkat separuh akhir ASEAN Championship 2024.