Advertisements
Pau Marti Sahut Cabaran Pacu Malaysia Di Laman Lawan
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Pengendali skuad senior Malaysia, Pau Marti Vicente sedia menyahut cabaran meraih kemenangan di tempat lawan.

Harimau Malaya meraih kemenangan dalam aksi persahabatan antarabangsa menentang Laos pada 14 November lalu. Harith Haiqal Adam Afkar, Stuart Wilkin dan Sergio Aguero mencetak nama sebagai penjaring.

Kemenangan ini sekaligus melebarkan lagi rekod kemenangan Malaysia ke atas Laos sejak tahun 2008. Kejayaan ini turut menebus kekecewaan tewas kepada New Zealand di Auckland pada Oktober lalu.

Kini, Harimau Malaya berdepan cabaran sukar apabila menentang India pada 18 November di Hyderabad.

Pau Marti mengakui aksi ini bukan mudah dengan tempoh singkat buat anak buahnya untuk mengatur persiapan. Pada masa sama, ini menjadikan skuad negara lebih fokus untuk memburu keputusan positif.

“Kita tidak mempunyai banyak masa. Kita hanya ada satu hari untuk pemulihan. Kita ada dua sesi latihan, satu sesi di Thailand dan satu sesi lagi di India.

“Saya fikir bagus untuk kita kerana kita bermain di tempat lawan, situasi ini memberi ingatan kepada kita. Ini kerana bila kita bermain di tempat lawan, kita lebih fokus dan India akan memberi cabaran sukar di tempat lawan.

“India satu pasukan yang bagus dan mereka juga mencari kemenangan selepas banyak perlawanan, kita perlu bersedia (hadapi cabaran mereka),” katanya dalam video FAM TV.

Malaysia bakal turun tanpa kelibat tiga tonggak utama Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Arif Aiman Hanapi, Feroz Baharudin dan Matthew Davies. Ketiga-tiga telah dipanggil kembali menyertai Harimau Selatan.

Ini disebabkan tarikh aksi menentang India terlalu hampir dengan aksi pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia menentang KL Rovers FC pada 20 November.