Tonggak Harimau Malaya, Paulo Josue enggan memandang rendah cabaran Nepal menjelang aksi pertama kelayakan Piala Asia 2027.
Kelebihan ranking dan rekod pertemuan silam dilihat memihak kepada Malaysia. Skuad negara berada di kedudukan ke-132 berbanding The Gorkhalis (ranking ke-175 dunia).
Harimau Malaya juga belum tewas kepada Nepal dalam enam aksi rasmi dari 1983 hingga 2019. Malaysia merekodkan lima kemenangan dan satu keputusan seri.
Harimau Malaya turut merekodkan kemenangan 5-1 ke atas The Gorkhalis dalam aksi persahabatan tidak rasmi pada Mac 2024 sebagai persiapan menghadapi Oman.
Meskipun kelebihan tampak memihak kepada skuad negara, Josue mahu rakan-rakan sepasukannya kekal fokus untuk meraih kemenangan pertama dalam Kumpulan F.
“Kita hadapi mereka (Nepal) saya tak ingat tarikhnya bila (aksi persahabatan tak rasmi Mac 2024). Saya tak pasti kita hadapi mereka dengan skuad penuh,” katanya kepada media.
“Kita perlu buat persiapan dengan baik, kita perlu tahu tentang pasukan itu. Seperti yang saya kata sebelum ini, kita perlu jadi lebih baik setiap hari.
“Kita perlu jadi lebih baik setiap hari dari segi penambahbaikan dan setiap sesi latihan. Apabila tiba hari perlawanan, kita cuba jadikan ia lebih mudah buat kita menerusi corak permainan bola sepak yang kita berlatih.
Nepal dijangka memberi cabaran kepada Malaysia apabila kedua-dua pasukan bertemu pada 25 Mac ini.
Ini kerana The Gorkhalis memiliki misi memburu kemenangan pertama buat jurulatih baru mereka dari Australia, Matt Ross.