Siapa sangka dari seorang pemandu bas dan kini Matt Rose akan mengemudi skuad Nepal menghadapi Harimau Malaya dalam aksi Kelayakan Piala Asia.
Pada 2 Mac lalu, Persatuan Bola Sepak Nepal (ANFA) telah mengumumkan pelantikan Matt Rose selaku jurulatih baharu The Gorkhalis bagi menggantikan tempat Vincenzo Annesse.
“Matt Ross telah menandatangani kontrak selama satu tahun sebagai permulaan, yang dimeterai secara rasmi di hadapan Setiausaha Agung ANFA, Kiran Rai,” umum badan induk bola sepak Nepal itu.
Ross tanpa membuang waktu segera melakukan tugas dan telah mengumumkan senarai 30 pemain Nepal bagi hadapi dua aksi antarabangsa menentang Singapura dan Malaysia pada Mac ini.
Salah satu info menarik yang dikongsikan oleh laman Nepali Football Update bahawa Matt Rose pernah bergelar seorang pemandu bas di sebuah sekolah di Jerman sebelum ceburi bidang kejurulatihan.
Difahamkan juga, Rose yang miliki lesen kejurulatihan UEFA Pro pernah membimbing beberapa kelab di sekitar Eropah dan pasukan terakhir beliau adalah skuad wanita Korea Selatan.
“Dari memandu bas di sekolah isterinya di Frankfurt hingga memimpin FFC Frankfurt meraih kemenangan UEFA Women’s Champions League pada 2015, perjalanan Ross amatlah inspiratif,” kongsi Nepali Football Update.
“Tempoh beliau sebagai pembantu jurulatih pasukan wanita Korea Selatan sejak Disember 2019 yang lalu menonjolkan kepakarannya.
Kini, tumpuan Matt Rose dan pasukan Nepal pastinya untuk hadapi Singapura sebagai persiapan sebelum aksi pertama Kelayakan Piala Asia bertemu Harimau Malaya pada 25 Mac ini.