Paulo Josue akui Jordan adalah pasukan yang hebat namun Malaysia mampu mencipta kejutan menjelang aksi pertama kumpulan E Piala Asia 2023 kelak.
“Kami sedang menyesuaikan diri dengan cuaca dan padang. Sebab itulah jurulatih mahu kami tiba awal di sini.”
“Kita adalah pasukan underdog di Piala Asia, Kita mampu kejutkan mereka jika mereka bermain dengan teruk.” ujar Paulo kepada pihak wartawan.
Skuad kendalian Kim Pan-gon kini sudah 6 hari menjalani latihan di Qatar dan Malaysia antara pasukan terawal yang tiba untuk kejohanan Piala Asia 2023.
“Saya di sini untuk membantu selagi mana jurulatih memerlukan saya. Jurulatih Kim mempercayai saya dengan membawa saya ke Qatar dan saya bersedia untuk memberikan segalanya buat pasukan.”
“Staf kejurulatihan sudah memberikan banyak maklumat sebagai persediaan menentang Jordan. Jordan mempunyai skuad yang bagus dan beberapa pemain yang bermain di eropah namun kita mampu cipta kejutan.” ujarnya.

Paulo Josue turut menyatakan aksi pertama menentang Jordan amat penting bagi menentukan nasib Malaysia di Piala Asia.
“Kami berada di sini untuk memenangi perlawanan walaupun mereka lawan yang hebat. Jika kita tidak kalah aksi pertama dan meraih mata, kita boleh memikirkan peluang ke peringkat seterusnya namun kita perlu lakukan satu-persatu. Kita perlu fikirkan tentang Jordan terlebih dahulu.”
“Kita jalani latihan yang banyak kerana kaedah Jurulatih Kim Pan-gon amat ketat. Semua staf kejurulatihan disini membantu kita untuk bersedia dan cergas sepenuhnya sebelum kejohanan bermula.” jelasnya lagi.
Paulo Josue yang berusia 34 tahun antara pemain berpengalaman yang dibawa oleh Kim Pan-gon ke Piala Asia Qatar selain daripada Natxo Insa, Brendan Gan dan Endrick Dos Santos.
Pemain tengah menyerang ini melakukan debut buat Harimau Malaya pada Mac 2023 dan kini telah menyumbang 4 gol buat Malaysia.
Malaysia akan menentang Syria pada Isnin ini selaku perlawanan pemanas badan sebelum bertemu cabaran Jordan dalam aksi pertama kumpulan E Piala Asia 2023.