Paulo Josue: KL City Perlu Contohi JDT
MakanBola
KL City FC

Kapten KL City FC, Paulo Josue melihat Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai satu pasukan yang patut dicontohi jika pasukan itu ingin mencapai tahap yang lebih tinggi.

Pandangan penyerang Harimau Malaya itu dibuat berdasarkan kejayaan yang dilakar Harimau Selatan terutama dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2024-2025 (ABK24-25).

ABK24-25 menyaksikan JDT menggondol banyak anugerah termasuk Pasukan Terbaik dan Penyokong Terbaik.

Dua tonggak berbisa mereka, Arif Aiman Hanapi dan Bergson da Silva pula masing-masing meraih tiga dan dua anugerah ABK24-25.

Arif meraih anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP), Pemain Tengah Terbaik dan Gol Terbaik Liga Malaysia 2024/25. Bergson pula meraih gelaran Pemain Import Terbaik dan Penjaring Terbanyak Liga Super.

Josue melihat usaha keras JDT patut dicontohi KL City jika mahu mengembalikan kegemilangan pasukan itu.

“Untuk berada di sini (ABK24-25) buat kali pertama bukan mudah tetapi untuk berada di sini setiap masa amat sukar. Itu sebab kita dapat lihat ramai pemain Johor di sini kerana mereka berusaha keras.

“Mereka banyak melabur untuk pemain-pemain mereka, mereka ada kemudahan yang bagus. Itu sebab mereka berhak berada di sini dan memenangi banyak trofi.

“Bagi kelab seperti KL City, mereka harus jadikan ia sebagai contoh jika mereka berjaya mengekalkan satu pasukan yang bagus,” katanya selepas tamat acara ABK24-25.

Josue meraih anugerah Penyerang Tempatan Terbaik dan Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super. Beliau juga menjadi pemain bukan Melayu pertama sejak Liew Kit Kong yang meraih anugerah Penyerang Tempatan Terbaik.