Paulo Josue memuji kerja keras yang dipamerkan oleh Romel Morales sewaktu pertama kali dipanggil menyarung jersi Harimau Malaya.
“Saya rasa Romel seorang yang kuat bekerja keras dan bagus. Dia mampu belajar dan mendengar apa yang lain nasihatkan. Saya rasa dia layak dan merupakan aset penting untuk pasukan kebangsaan.”
“Sudah tentu dua perlawanan awal dia sedikit bergelut kerana itu penampilan pertamanya. Mungkin dia belum dapat menyesuaikan diri dengan cara permainannya tetapi pada perlawanan terakhir dia berjaya melakukan larian yang bagus dan menjaringkan gol minit akhir.”
“Itu adalah momen bersejarah untuk kami dan untuk Malaysia.” ujar Paulo Josue kepada Astro Arena.
Pemain berusia 34 tahun itu juga merupakan rakan sepasukan untuk Romel Morales diperingkat kelab bersama KL City.
Romel Morales muncul watak penting Malaysia apabila menjaringkan gol minit akhir menentang Korea Selatan dalam aksi terakhir kumpulan E Piala Asia 2023.
Malah Paulo Josue adalah pemain yang melorongkan bola tersebut kepada Romel Morales dalam perlawanan penuh dramatik itu.
Kini skuad kebangsaan Malaysia kembali fokus untuk kejohanan seterusnya apabila akan bertemu Oman untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2026.