Kapten KL City FC, Paulo Josue mengakui gembira melihat Natxo Insa kembali menyertai kem Harimau Malaya.
Sebelum ini, nama pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) mengundang rasa tidak puas hati penyokong negara. Ini selepas Insa mempamerkan aksi hambar ketika beraksi dalam saingan Piala Asia 2023.
Keadaan ini menyebabkan bekas pemain tengah Celta Vigo itu tidak dipanggil menyertai Harimau Malaya untuk beberapa aksi penting seperti pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 dan Pestabola Merdeka.
Walau bagaimanapun, segalanya berubah apabila Insa mempamerkan aksi berkualiti untuk JDT dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE). Ini termasuk kemenangan 3-0 ke atas Ulsan HD di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 5 November lalu.
Prestasi baik Insa mendorong pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente menyenaraikannya dalam senarai 26 pemain yang menyertai kem pasukan itu.
Josue percaya kehadiran beliau bukan saja menambah kualiti skuad senior Malaysia. Malah, beliau percaya pengalaman Insa mampu menjadi aset berharga buat pasukan.
“Ini sesuatu yang bagus. Satu perkara yang baik melihat pemain bagus berada di situ (skuad kebangsaan). Natxo beraksi dalam ACL dan menunjukkan kualitinya semasa bermain.
“JDT beraksi dengan bagus dan Natxo dilihat tonggak utama dalam sistem yang digunakan JDT ketika ini. Saya fikir ini penting buat pemain-pemain skuad kebangsaan untuk beliau sebagai rakan sepasukan dan menimba pengalaman dan ilmu dengan beliau.
“Jadi, sudah tentu sesuatu yang bagus untuk melihatnya kembali bersama Harimau Malaya,” katanya kepada Nadi Arena.
Selain Insa, pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente turut memanggil Josue, Stuart Wilkin, Syamer Kutty Abba, Mukhairi Ajmal Mahadi dan Nooa Laine sebagai pilihan di bahagian tengah.
Skuad negara akan mula berlatih pada 10 dan 11 November di Wisma FAM, Kelana Jaya sebelum bertolak ke Bangkok, Thailand sehari selepas itu. Malaysia akan turun menentang Laos di negara berkenaan pada 14 November.
Setelah itu, Harimau Malaya akan berangkat ke India pula untuk aksi persahabatan menentang India pada 18 November.