Penyerang Harimau Malaya, Paulo Josue sedia meminta pelepasan KL City bagi membantu skuad Malaysia di AFF Mitsubishi Electric Cup 2024.
Skuad kebangsaan baru sahaja selesai mengharungi dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 minggu lalu bertemu Laos di Bangkok serta negara ke-125 dunia, India di Hyderabad.
Kedua-dua aksi ini dilihat sebagai salah satu persiapan untuk skuad negara sebelum membuka tirai saingan AFF Mitsubishi Electric Cup yang bakal bermula awal Disember hadapan.
Tumpuan peminat bola sepak tempatan kini terarah kepada senarai 26 pemain yang bakal dipanggil membawa cabaran negara yang dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat.
Oleh itu, penyerang KL City, Paulo Josue berharap namanya bakal tersenarai ke skuad kebangsaan dan bersedia meminta pelepasan dari pihak kelab dan jurulatih, Miroslav Kuljanac.
”Saya harap saya terpilih ke kem kebangsaan dan saya bakal minta kepada pihak pengurusan (KL City) dan jurulatih untuk lepaskan saya,” luah Paulo Josue kepada Fina Nasrom.
Paulo turut memberi bayangan kejuaraan bagi edisi 2024 ini bakal menjadi kejohanan terakhir buatnya bersama Malaysia serelah mengambil kira faktor usia yang sudah menginjak 35 tahun.
”Mungkin ini adalah kejohanan terakhir saya memandangkan umur saya yang semakin meningkat dan tidak mudah untuk mengekalkan prestasi sepanjang masa,” ujar Paulo lagi.
Harimau Malaya bakal memulakan saingan di AFF Mitsubishi Electric Cup berdepan Kemboja pada 8 Disember di Phnom Penh pada jam 6.45 petang waktu Malaysia.