Kapten KL City FC, Paulo Josue menyamai rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman pasukan itu, Fandi Ahmad.
Sebelum ini, legenda bola sepak Singapura itu menjaringkan 67 gol sepanjang bersama pasukan Lembah Klang itu dari 1986 hingga 1990.
Sementara Josue berada di tempat kedua dengan 66 gol – rekod yang dikongsi dengan bekas peledak naturalisasi negara, Guilherme de Paula.
Manakala K. Kannan dan Subadron Aziz melengkapkan senarai lima penjaring terbanyak sepanjang zaman KL City. Kannan dan Subadron masing-masing menjaringkan 60 dan 51 gol.
Dengan Josue masih aktif mengetuai cabaran KL City, ramai penyokong percaya rekod lama yang dipegang jurulatih Sri Pahang FC itu bakal dipecahkan.
Impian penyokong The City Boys akhirnya tercapai apabila pemain tengah Harimau Malaya itu meledakkan gol pada minit ke-61 dalam aksi liga menentang Sabah FC.
Ini menjadikan Josue berkongsi gelaran penjaring terbanyak sepanjang zaman KL City bersama Fandi dengan 67 gol. Fakta ini dikongsikan oleh wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran.
Perlawanan itu berakhir dengan kemenangan 3-0 buat The City Boys. Josue kini berpeluang untuk menambah gol ke-68 untuk aksi liga seterusnya menentang Terengganu pada 10 Ogos ini.