PDRM FC diarah membayar saman berjumlah lebih RM30,000 terhadap seorang individu dipercayai bekas staf pasukan itu.
Saman tersebut dikeluarkan Pejabat Tenaga Kerja Kuala Lumpur menerusi satu surat rasmi yang tular di media sosial pada Isnin.

Surat tersebut menyatakan arahan buat pasukan yang diberi jolokan The Cops itu untuk melangsaikan bayaran sebanyak RM33,763.35 kepada seorang individu bernama Muhammad Syahiran Rosli.
Semakan di internet menunjukkan Syahiran ialah bekas staf pasukan yang pernah bergelar juara MFL Challenge Cup musim 2023 itu.
Surat perintah itu menyatakan PDRM perlu melunaskan bayaran saman itu dalam tempoh 14 hari tarikh perintah itu dikeluarkan.
Ini bukan kali pertama PDRM menjadi sebutan peminat bola sepak negara akibat isu kewangan. Sebelum ini, bekas arkitek PDRM, Ahmed Israiwah mahu pasukan itu menyelesaikan tunggakan gaji beliau selama enam bulan.
Israiwah turut memberi tempoh kepada PDRM untuk berbuat demikian. Jika pasukan itu masih gagal melunaskan tunggakan tersebut, beliau akan mendedahkan keperitan yang dihadapinya sebelum menyertai Kuching City FC.