PDRM Hanya Kekalkan Fadi Awad
MakanBola
Sabah FC

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PDRM FC, ASP Muhammad Hafiz Zainal Abidin mendedahkan tonggak import Jordan, Fadi Awad hanya satu-satnya pemain import yang dikekalkan untuk musim hadapan.

Hal ini dinyatakan beliau apabila ditanya tentang barisan pemain yang akan menggalas cabaran The Cops untuk musim 2026/27.

Muhammad Hafiz memaklumkan keputusan mengekalkan pemain tengah berusia 32 tahun itu dibuat dengan mengambil kira faktor kewangan pasukan.

Pada masa sama, pengurusan PDRM akan tetap mencari pemain import baharu bagi memantapkan lagi jentera pasukan itu.

“Dari segi penstrukturan semula kewangan, yang itu paling penting. Jadi, adalah lebih baik untuk kami berbelanja dengan keadaan yang seadanya. Saya boleh terus terang, saya cakap memang antara yang kekal adalah Fadi sahajalah.

“Dengan apa yang ada kami pada tahun ini, kita bariskan pemain dengan hampir 16 orang daripada PDRM. Dan Insya Allah, kita akan jumpa lebih ramai (pemain).

“Dan kita berharap kita dapat jumpa pemain-pemain import yang mampu (memperkukuhkan pasukan) di setiap bahagian yang agak penting dalam pertandingan,” katanya kepada Nadi Arena.

Keputusan ini menyaksikan dua tonggak import PDRM, Park Tae-su dan Elisha Oluwasegun Kashim mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan itu.

Fadi merekodkan 26 penampilan untuk The Cops musim ini. Berita ini menyaksikan beliau akan terus mewarnai Liga Super musim depan.

Ini selepas dua rakan senegara yang mewakili Selangor FC, Mohammad Abualnadi dan Noor Al-Rawabdeh memberi bayangan bahawa musim 2025/26 merupakan musim terakhir mereka bersama pasukan itu.