Dua Tonggak Jordan Beri Bayangan Tinggalkan Selangor?
MakanBola
Selangor FC

Dua tonggak Jordan, Mohammad Abualnadi dan Noor Al-Rawabdeh memberi bayangan bahawa musim 2025/26 merupakan musim terakhir mereka bersama Selangor FC.

Ini selepas kedua-dua pemain itu memuat naik hantaran seolah-olah ucapan perpisahan di platform Instagram baru-baru ini.

Noor menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengurusan kelab, barisan kejurulatihan dan rakan sepasukan kerana sentiasa menyokong beliau sepanjang bersam Selangor.

“Selepas 3 tahun yang tidak dapat dilupakan bersama Selangor FC, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kelab kerana mempercayai saya untuk berkembang sebagai pemain dan insan.

“Kepada semua rakan sepasukan saya dan orang di sebalik tabir, saya akan sentiasa berterima kasih atas kenangan, pengalaman dan saat-saat yang kita kongsi bersama. Dan kepada peminat-peminat hebat yang menyokong saya sepanjang perjalanan ini, semangat dan cinta anda terhadap kelab akan sentiasa bersama saya.

“Ke mana sahaja bola sepak membawa saya seterusnya, sebahagian daripada diri saya akan sentiasa berada di sini,” katanya.

Abualnadi pula memilih memuat naik hantaran ringkas tetapi bermakna. “Terima kasih Selangor FC atas dua tahun yang indah. Alhamdulillah,” katanya.

Selepas komen tersebut dimuat naik, ramai rakan sepasukan mengucapkan selamat berjaya bukan saja untuk destinasi pilihan mereka. Malah, mereka berharap Noor dan Abualnadi mampu memberi impak kepada Jordan dalam Piala Dunia 2026.

Antara yang berbuat demikian ialah Hugo Boumous, Mamadou Diarra, Kim Ji-ho, Zikri Khalili dan Nooa Laine Hamzah. Selain itu, pemain-pemain Jordan turut melakukan perkara sama termasuk beberapa bekas pemain yang pernah mewarnai Liga Super.

Antaranya dua bekas pemain Selangor, Yazan Al-Arab dan Reziq Bani Hani serta bekas pemain sayap Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Mahmoud Al-Mardi.

Noor menyertai Selangor pada 2023 dengan Abualnadi pada musim 2024/25. Selain membantu Selangor layak ke final Shopee Cup musim ini, mereka juga pernah membantu Selangor bergelar juara MFL Challenge Cup musim 2024/25.

Semakan di Transfermarkt menunjukkan Abualnadi merekodkan 53 penampilan dan tiga bantuan gol. Noor pula merekodkan 84 penampilan, sembilan gol dan 11 bantuan gol.

Kedua-duanya kini bersama kem Jordan sebagai persediaan menghadapi Piala Dunia 2026. Sehingga artikel ini ditulis, belum ada kenyataan rasmi Selangor berhubung status Abualnadi dan Noor.