Selangor Jumpa Buriram United Di Final Shopee Cup
MakanBola
Selangor FC

Selangor FC sah akan bertemu Buriram United di pentas final Shopee Cup.

Selangor menjadi pasukan pertama layak selepas menewaskan Thep Xanh Nam Dinh FC (Nam Dinh FC) 2-0 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Thien Truong.

Chrigor Moraes muncul wira Selangor dengan meledakkan dua gol dalam perlawanan itu. Hal ini memastikan Merah Kuning mara dengan kemenangan agregat 4-1.

Meskipun dipaksa beraksi dengan sembilan pemain, itu tidak menghalang Buriram menyingkirkan Johor Darul Ta’zim (JDT) 4-3 secara agregat.

JDT mengikat agregat 2-2 sehingga tamat 90 minit permainan menerusi penalti Bergson da Silva dan gol Marcos Guilherme.

Bekas pemain Samsunspor, Kingsley Schindler muncul wira Thunder Castle dengan meledakkan gol pada minit ke-98.

Buriram kemudiannya terpaksa mempertahankan kelebihan agregat 3-2 untuk baki masa tambahan. Ini selepas Guilherme Bissoli dan Goran Causic dilayangkan kad merah oleh pengadil Korea Selatan, Kim Woo-sung.

Bissoli diarah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua. Causic pula dikenakan kad merah apabila VAR mengesan beliau menyiku dada pemain JDT.

Selangor dan Buriram akan berentap di pentas final pada 20 dan 27 Mei ini. Untuk rekod, Merah Kuning menjadi wakil Malaysia kedua ke final buat kali pertama sejak 2005.

Anak buah Kim Pan-gon mengikut jejak Pahang yang beraksi dalam final kejohanan pada tahun tersebut.

Selangor berharap dapat menjadi pasukan Malaysia pertama bergelar juara Shopee Cup. Buriram pula dijangka mahu mempertahankan trofi itu yang dimenangi pada musim 2024/25.