Selangor FC menempah tiket final Shopee Cup dengan mengalahkan Thep Xanh Nam Dinh FC (Nam Dinh FC) di Stadium Thien Truong.
Kedua-dua pasukan turun dengan misi memburu tiket final lebih-lebih lagi ini peluang terakhir mereka meraih trofi untuk musim 2025/26.
Selangor memiliki kelebihan satu gol selepas menewaskan Nam Dinh 2-1 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium MBPJ pada 6 Mei lalu.
Chrigor Moraes menjadi sandaran gol Merah Kuning selepas mengatasi rekod Bambang Pamungkas dengan 40 gol. Nguyen Xuan Son menjadi pilihan Vu Hong Viet untuk mengetuai jentera serangan Nam Dinh.
Separuh masa pertama menyaksikan Nam Dinh cuba merobek gawang Selangor menerusi Xuan Son, Caio Cesar, Percy Tau dan Nguyen Tuan Anh.
Arnaud Lusamba hampir membuka tirai jaringan buat rumah pada minit ke-13. Malangnya, percubaan bekas pemain tengah Baniyas Club itu tidak menepati sasaran.
Sebaliknya, Merah Kuning kerap mencemaskan benteng Nam DInh menerusi gandingan Chrigor, Vitor Pernambuco dan kapten, Faisal Halim.
Pernambuco hampir merobek gawang Nam Dinh pada minit ke-23. Usaha pemain sayap Brazil itu tidak berhasil apabila percubaannya disekat kapten tuan rumah, Tran Nguyen Manh.
Nam Dinh ditimpa malang apabila pengadil Jepun, Koji Takasaki menganugerahkan sepakan penalti kepada Selangor. Ini selepas VAR mengesan Mitchell Dijks menarik pemain pertahanan Selangor, Mohammad Abualnadi dalam kotak penalti.
Penalti tersebut mudah disempurnakan Chrigor pada minit ke-40. Ini memastikan Selangor mendahului 3-1 secara agregat sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, Hong Viet membuat tiga perubahan termasuk memasukkan bekas penyerang St. Gallen, Chadrac Akolo.
Pemain gantian, Lam Ti Phong menyangka telah menyamakan kedudukan buat tuan rumah. Malangnya, gol tersebut dibatalkan selepas Percy Tau dikesan berada pada kedudukan ofsaid.
Pernambuco tidak dapat meneruskan permainan akibat kecederaan. Ini mendorong Selangor memasukkan Zikri Khalili untuk memantapkan benteng pertahanan pasukan itu.
Chrigor memastikan Selangor memiliki kemenangan 2-0 dengan meledakkan gol pada minit ke-90. Beliau pantas menyudahkan hantaran jauh Zikri untuk memastikan keputusan agregat 4-1.
Selangor bakal berdepan sama ada kelab senegara, Johor Darul Ta’zim (JDT) atau Buriram United di pentas final. Final Shopee Cup akan berlangsung pada 20 dan 27 Mei ini.