Penyerang Nguyen Xuan Son yakin mampu merobek gawang Selangor FC apabila Nam Dinh FC menerima kunjungan wakil Malaysia itu dalam aksi separuh akhir kedua ACC Shopee Cup 2025/2026 di Thien Truong Stadium pada 13 Mei.
Pada aksi separuh akhir pertama sebelum ini, Xuan Son gagal menemui sentuhan gol apabila dikekang rapi barisan pertahanan Selangor yang tampil berdisiplin sepanjang perlawanan.
Bercakap pada sidang media sebelum perlawanan, Xuan Son yakin aksi separuh akhir kedua nanti akan berbeza dan percaya dirinya mampu meledak gol untuk membantu Nam Dinh memburu kemenangan.
“Mari kita tengok apa yang akan berlaku. Bagi saya secara jujurnya, saya yakin bahawa saya akan jaringkan gol,” tegas Xuan Son dalam sidang media seperti yang dikongsikan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi di laman X.
Keyakinan tinggi ditampilkan Xuan Son itu pastinya menuntut benteng Selangor supaya lebih berhati-hati kerana kelebihan agregat 2-1 yang dimiliki Selangor itu masih belum selesa dan apa sahaja boleh berlaku pada aksi timbal balik nanti.
Selain ketajaman Xuan Son, Nam Dinh turut diperkuat pemain berpengalaman Liga Perdana Inggeris (EPL), Percy Tau, yang sudah membuktikan kemampuannya apabila berjaya mengucar-ngacirkan benteng pertahanan Selangor pada aksi separuh akhir pertama tempoh hari.
Pemenang aksi separuh akhir ini akan mara ke final untuk bertemu sama ada Buriram United atau Johor Darul Ta’zim (JDT) yang turut berentap dalam satu lagi aksi separuh akhir ACC Shopee Cup 2025/2026.