Bekas bintang Liga Perdana Inggeris (EPL), Percy Tau hampir membuatkan Selangor FC berputih mata apabila berkali-kali mencetuskan ancaman berbahaya dalam aksi separuh akhir ACC Shopee Cup 2025/2026 menentang Nam Dinh FC pada Rabu.
Percy Tau yang pernah menyarung jersi Brighton & Hove Albion beberapa tahun lalu tampil sebagai nadi utama jentera serangan Nam Dinh FC sekali gus berjaya mengucar-ngacirkan barisan pertahanan Selangor FC sepanjang perlawanan.
Pemain antarabangsa Afrika Selatan itu sekurang-kurangnya melakukan lebih lima percubaan ke arah gawang Selangor FC, namun sebahagian besar tepat ke penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel yang turut menampilkan aksi cukup cemerlang dengan beberapa aksi penyelamatan penting.
Ternyata usaha gigih Percy Tau dalam melancarkan serangan membuahkan hasil apabila beliau merekodkan satu bantuan gol menerusi hantaran tepat kepada Nguyen Van Vi untuk gol penyamaan Nam Dinh FC dalam perlawanan tersebut.
Kelicikan serta kepantasan Percy Tau jelas menjadi amaran awal buat Selangor agar lebih berwaspada menjelang aksi separuh akhir ACC Shopee Cup 2025/2026 yang dijadualkan berlangsung pada 13 Mei.
Kemenangan tipis 2-1 yang diraih Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sememangnya belum boleh dianggap selesa, namun ia tetap memberi kelebihan penting menjelang aksi separuh akhir kedua di Stadium Thien Truong.