Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan fotofit wajah suspek kes simbah asid terhadap tonggak Selangor FC, Faisal Halim.
Lakaran Fotofit tersebut dibuat melalui rakaman CCTV dan aduan beberapa saksi kes tersebut.
Menurut satu kenyataan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, beliau menjelaskan bahawa suspek juga mempunyai badan bersaiz sederhana dan mempunyai kulit sawo matang.
Individu tersebut juga dianggarkan berketinggian 165 sentimeter serta berusia dalam lingkungan 30-an.
Beliau juga menegaskan kepada orang ramai yang dapat mengenal pasti individu seperti fotofit tersebut, diminta tampil kehadapan dan membuat laporan kepada pihak polis.
“Laporan boleh terus dibuat kepada pegawai penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Undang-Undang/Pendakwaan (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Inspektor Jagachandran Murugesen di talian 012-684 8166 atau 03-2266 6071.
“Atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengesan suspek dan membuat siasatan lanjut berkaitan kes simbah asid melibatkan mangsa, Muhammad Faisal Abdul Halim,” katanya dalam kenyataan rasmi hari ini.
Setakat ini, lebih daripada 12 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan pihak polis.
Kejadian yang berlaku pada 5 Mei lalu itu menyebabkan Faisal Halim cedera disimbah asid ketika berada di sebuah pusat membeli-belah di Lembah Klang.
Situasi ini terjadi selepas dua lelaki bermotosikal difahamkan telah menghampiri kenderaan beliau sebelum bertindak menyimbah asid.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC (SFC), Dr Johan Kamal Hamidon memaklumkan bahawa Faisal Halim mengalami kelecuran tahap empat selepas disimbah dengan asid sulfurik pekat.
Keadaan beliau kini bertambah baik namun masih berada dalam pemantauan pihak hospital setelah melalui beberapa siri pembedahan termasuk implan kulit.