Sudah mula kedengaran suara-suara yang meminta Liga Perdana dikembalikan atas alasan ia memberi kesan kepada karier ramai pemain profesional. Tetapi bagi pemerhati sukan Datuk Dr Pekan Ramli, perubahan ini penting bagi menjadikan bola sepak Malaysia lebih profesional.
Beliau mengakui ketiadaan Liga Perdana merupakan sesuatu yang sukar buat para pemain yang belum mendapat pasukan. Tetapi pada masa sama, ia juga merupakan satu cabaran bagi memastikan mereka sentiasa mendapat tempat dalam pasukan-pasukan Liga Super.
“Ini sebenarnya satu proses kehidupan yang mana ia sebagai satu perjalanan dalam hidup kita. Umpama keadaan ekonomi juga, ada masa berlaku kemelesetan ekonomi dengan ada yang dibuang kerja dan ada terpaksa cari kerja lain.
“Kalau tidak dapat teruskan kerjaya sebgai pemain bola sepak, sudah pasti mereka perlu bersedia untuk mencari rezeki lain, ini satu benda yang kita kena terima.
“Tiada janji seorang ahli sukan akan terus berada pada kedudukan selesa kecuali kalau pemain itu memang berbakat, bekerja keras dan mampu mendapat tempat dalam banyak pasukan.
“Untuk mengatakan ini satu perubahan yang zalim atau perubahan drastik sampai mereka (pemain) terpaksa jual pisang goreng, tidak. Ia salah satu proses kehidupan. Kita kena terima, sebab kita tahu kerjaya sebagai ahli sukan ini apa sahaja boleh berlaku,” katanya bila dihubungi BH Sukan.
Sebelum ini, ada yang meminta Liga Perdana dikembalikan termasuk jurulatih Perak, Datuk Lim Teong Kim. Ini kerana menurut bekas jurulatih skuad remaja Bayern Munich itu, ketiadaan liga tersebut akan membantutkan perkembangan pemain terutama pemain-pemain muda.