Harimau Malaya dijangkan akan mempunyai beberapa pelan jangka pendek dan panjang bagi memperkuatkan skuad kebangsaan Malaysia untuk tempoh beberapa tahun mendatang.
Dalam satu muat naik yang dikongsikan pencetus revolusi baharu Harimau Malaya iaitu Tunku Ismail Idris Ibni Sultan Ibrahim, projek naturalisasi dan pemain warisan turut berada dalam perancangan Harimau Malaya.
Tunku Ismail menganggap penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva akan menjadi salah satu projek jangka pendek selepas pemain itu melengkapkan tempoh 5 tahun beraksi di Malaysia.
Selain Bergson, pemain sayap Sri Pahang FC, Manuel Hidalgo turut berpotensi untuk dinaturalisasikan sebagai salah satu projek jangka panjang memandangkan Hidalgo masih lagi muda.
“Bergson boleh dinaturalisasikan sebagai langkah jangka pendek selepas genap 5 tahun di Malaysia, Hidalgo juga untuk jangka panjang beserta pemain-pemain yang lain,” jelas Tunku Ismail di laman X.
Selain itu, Tunku Ismail juga telah mengadakan pertemuan dengan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi mendapatkan data pemain-pemain warisan yang beraksi di luar negara.
Presiden FIFA, Gianni Infantino telah bersetuju untuk memberikan sokongan kepada Malaysia dari segi penyelidikan, infrastruktur dan pembangunan bola sepak.
Usaha tanpa henti Tunku Ismail dalam membangunkan skuad kebangsaan ini nyata meraih pujian rakyat Malaysia yang mahu melihat bola sepak Malaysia membangun dan sebaris pasukan-pasukan hebat di pentas antarabangsa.