Johor Darul Ta’zim (JDT) dikatakan berminat untuk merekrut seorang penyerang dengan nilai pasaran mencecah RM3.2 juta.
Skuad Harimau Selatan di bawah bimbingan Hector Bidoglio ketika ini selesa menerajui carta Liga Super dengan 46 mata, 11 mata meninggalkan pencabar terdekat, Selangor di tangga kedua.
Malah, JDT juga sedang berjuang hebat dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) apabila berada di kedudukan ke-6 setelah 6 perlawanan setakat ini dengan mengumpul 8 mata.
Satu perkongsian oleh pemerhati bola sepak tempatan, Juan Budiman memberi bayangan seramai 3 pemain baharu bakal menyertai JDT terdiri daripada penyerang, perancang tengah dan sayap.
“Juara berganda Liga Super Malaysia sudah mengenal pasti tiga pemain untuk dibawa masuk untuk memperkukuhkan kedudukan sebagai pencabar di Asia.”
“Seorang penyerang, pemain nombor 10 dan juga pemain sayap,” ujar Juan Budiman di laman X.
Selain itu, wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam turut melaporkan dua bintang iaitu Oscar Romero serta Jonathan Viera dikaitkan dengan perpindahan ke kelab gergasi tanah air, JDT.
“Dua pemain berprofil tinggi dikaitkan ke pasukan nombor satu Malaysia dan Asia Tenggara, JDT iaitu bintang Paraguay, Oscar Romero yang dilapor ditawarkan kontrak bernilai RM11 juta.
“Seorang lagi pemain ialah bekas rakan sepasukan Jese Rodriguez iaitu Jonathan Viera,” ujarnya di laman X
Jonathan Viera merupakan tonggak serangan buat beberapa kelab di La Liga antaranya Las Palmas, Rayo Vallecano serta Valencia selain pernah berkelana ke China dan Emeriah Arab Bersatu.
Menurut laman Transfermarket, Viera miliki nilai pasaran 700,000 euro sekitar RM3.2 juta meskipun bergelar ejen bebas sejak dilepaskan oleh kelab UAE, Khor Fakkan pada September lalu.
Walau bagaimanapun, tiada sebarang pengesahan rasmi dari pihak kelab JDT mahu pun pemain dengan pasukan Harimau Selatan ketika ini sedang bersiap bagi menghadapi aksi Liga Super bertemu Sabah.