Johor Darul Ta’zim (JDT) dikhabarkan mahu merekrut Oscar Romero dengan tawaran kontrak bernilai RM11 juta menurut laporan wartawan dari Argentina.
Nama Oscar Romero mula menjadi bualan apabila wartawan luar negara, Bruno Pont melaporkan minat dari JDT terhadap bekas pemain Boca Juniors ini dan bersedia membayar harga mahal.
Malah, penganalisis bebas bola sepak tanah air iaitu Juan Budiman turut memberi petanda bakal ada pemain baharu tiba di Johor bagi memperkuat pasukan dalam aksi AFC Champions League Elite (ACLE).
“Sang Juara Liga Argentina dan juara Liga Brazil bakal berlabuh ke Iskandar Puteri dalam misi mengemudi Harimau Selatan ke pusingan kalah mati Liga Juara² Asia Elit.
“Selamat datang ke Johor,” ujar Juan Budiman dalam satu kenyataan di laman X.
Dalam satu laporan lain oleh wartawan Argentina, German Garcia Grova, JDT telah menawarkan kontrak bernilai 8 angka kepada Oscar dan bintang kelahiran Paraguay itu bersetuju.
“Oscar Romero menerima tawaran jutaan dari Johor Darul Ta’zim (JDT). Kontrak selama setahun bernilai 2,500,000 USD (RM11 juta),” lapor German Garcia Grova di laman X.
Walau bagaimanapun, masih tiada sebarang pengesahan rasmi mengenai pengambilan pemain baharu oleh pasukan JDT mahupun pihak Oscar Romero sendiri.
Untuk rekod, Oscar Romero ketika ini bergelar ejen bebas sejak 1 Januari yang lalu dengan aksi terakhirnya bersama Botafogo di Brazil.