Nilai pasaran membabitkan 4 pemain lokal Johor Darul Ta’zim (JDT) merekodkan peningkatan yang mendadak.
JDT di bawah bimbingan Hector Bidoglio ketika ini selesa menerajui carta Liga Super Malaysia dengan 46 mata, 11 mata meninggalkan pencabar terdekat, Selangor di tangga kedua.
Selain itu, skuad Harimau Selatan ini turut berjuang hebat di pentas AFC Champions League Elite (ACLE) dengan berada di tangga-6, mengumpul 8 mata setelah mengharungi 6 aksi setakat ini.
Persembahan cemerlang serta konsisten JDT dalam aksi liga domestik dan Asia menyaksikan 4 pemain tempatan Harimau Selatan mencatatkan kenaikan mendadak sehingga ada yang mencecah 12%.
Berdasarkan kemas kini oleh laman Transfermarket, saham pemain sayap sensasi, Arif Aiman Hanapi dilihat meningkat sebanyak 9.1% kepada 600,000 Euro bersamaan RM2.8 juta.
Bek kanan JDT, Matthew Davies turut merekodkan kenaikan setinggi 12.5% untuk muncul ke-8 termahal Harimau Selatan dengan nilai pasaran baharu iaitu 450,000 Euro sekitar RM2 juta.
Begitu juga dengan penjaga gol, Syihan Hazmi yang berjaya meraih 12 clean sheet musim ini mencatat peningkatan nilai pasaran kepada 325,000 Euro (RM1.5 juta) dengan kenaikan 8.3%.
Tidak dilupakan bek kebal, Feroz Baharudin yang kini miliki nilai pasaran setinggi 250,000 Euro bersamaan RM1.2 juta sekaligus muncul pemain pertahanan ke-5 termahal skuad JDT ketika ini.
Juara Liga Super 10 kali berturut-turut ini bakal meneruskan aksi pada 11 Januari ini menentang Sabah di Stadium Sultan Ibrahim sebelum berkunjung ke Pantai Timur untuk bertemu Terengganu.