Calon jurulatih Harimau Malaya dikesan memiliki portfolio yang sama sekaligus merancakkan lagi revolusi baharu skuad kebangsaan.
Malaysia dilihat bakal berwajah baharu selepas pengendali semasa, Pau Marti Vicente tidak akan kekal bersama pasukan memasuki musim 2025.
Skuad kebangsaan dijangka mendapat suntikan baharu selepas wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan bahawa pengendali baharu skuad negara memiliki pengalaman luas di Asia.
“Tugasan mencabar buat jurulatih baru Harimau Malaya, bukan nama besar tapi miliki pengalaman luas bola sepak Asia menerusi pencapaian di pentas antarabangsa dan domestik,” ujarnya di laman X.
Beberapa nama pengendali di Asia mula dikaitkan ketika ini termasuklah Peter Cklamovski, Kevin Muscat, Harry Kewell dan John Hutchinson untuk membantu Harimau Malaya.
Menariknya, kesemua calon yang dikaitkan untuk membimbing skuad kebangsaan berasal dari Australia dan masih muda sekaligus merancakkan DNA baharu yang bakal diterjemahkan buat pasukan kebangsaan.
Peter Cklamovski merupakan bekas pengendali FC Tokyo manakala Kevin Muscat pernah bersama Yokohama F. Marinos pada tahun 2021-2023.
John Hutchinson kini merupakan pengendali sementara Yokohama F. Marinos tetapi bakal membawa haluan baharu selain Harry Kewell juga kali terakhir bersama pasukan sama pada Julai lalu.
Setakat ini, masih tiada pengesahan rasmi berhubung status pengendali sebenar Harimau Malaya bagi memacu cabaran pasukan menghadapi Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac tahun hadapan.
Harimau Malaya diundi bersama Vietnam, Nepal dan juga Laos dengan aksi pembukaan menentang Nepal di laman lawan pada bulan Mac.