Arsenal terpaksa berpuas hati dengan status naib juara Liga Perdana Inggeris (EPL) meskipun menewaskan Everton di Stadium Emirates dalam aksi terakhir liga hari ini.
Dengan Manchester City memiliki kelebihan dua mata, The Gunners bukan saja perlu menang ke atas The Toffees. Malah, mereka mengharapkan ihsan West Ham United untuk mengejutkan City.
Arsenal terpaksa menyisihkan khidmat Bukayo Saka akibat kecederaan dan membawa masuk pemain sayap Brazil, Gabriel Martinelli. Sementara Everton mengekalkan kesebelasan sama yang menewaskan Sheffield United pada minggu lepas.
Babak pertama menyaksikan The Gunners mengancam kubu The Toffees seawal minit kelima menerusi pemain pertahanan Jepun, Takehiro Tomiyasu. Malangnya, tandukan yang dibuat beliau tidak mengenai sasaran.
10 minit selepas itu, pelawat hampir mendahului menerusi Dominic Calvert-Lewin tetapi rembatannya mengenai bahagian sisi gawang tuan rumah.
Semangat tuan rumah semakin malap apabila mengetahui The Citizens mendahului West Ham 2-0 menerusi dua gol yang disumbangkan bintang muda England, Phil Foden.
Keadaan ini membuka ruang buat bekas pemain tengah PSG, Idrissa Gueye meletakkan Everton di hadapan pada minit ke-40.
Keceriaan pelawat tidak bertahan lama apabila Tomiyasu menyamakan kedudukan buat Arsenal tiga minit selepas itu. Keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Arsenal berusaha mencari gol kedua perlawanan menerusi trio serangan mereka iaitu Martinelli, Leandro Trossard dan Kai Havertz.
Malangnya, barisan pertahanan Everton diketuai James Tarkowski terus menghampakan setiap serangan yang direncanakan tuan rumah.
Malah, pelawat hampir berjaya meraih gol kedua menerusi Calvert-Lewin pada minit ke-62 tetapi dinafikan penjaga gol The Gunners, David Raya.
Dengan City semakin selesa mendahului 3-1 di Stadium Etihad, Arsenal semakin terdesak mendapatkan gol kemenangan. Percubaan Trossard pada minit ke-70 berjaya dinafikan penjaga gol Everton, Jordan Pickford.
Tuah terus tidak memihak The Gunners apabila rembatan pemain gantian, Emile Smith Rowe terkena tiang pada minit ke-82.
Gol yang dicari Arsenal akhirnya muncul pada minit ke-89 menerusi Havertz. Walau bagaimanapun, itu tidak cukup untuk menghalang City bergelar juara buat kali keempat berturut-turut.
Sofascore memilih kapten Arsenal, Martin Odegaard sebagai pemain terbaik perlawanan hari ini. Beliau menerima markah 8.0 atas persembahan cemerlang sebagai jeneral tengah pasukan itu.
Keputusan ini menyaksikan Arsenal menamatkan musim di tangga kedua dengan 87 mata, empat mata di belakang The Citizens.