Dua gol Erling Haaland membantu Man City kembali memiliki kelebihan dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menewaskan Tottenham Hotspur di Stadium Tottenham Hotspur.
Selepas Arsenal menewaskan Manchester United 1-0, City diketuai Kevin De Bruyne perlu menang agar berpotensi menjulang trofi EPL buat kali keempat berturut-turut pada Ahad ini.
Sementara Spurs diketuai Son Heung-min perlu menang bagi menghidupkan sisa harapan memburu slot terakhir Liga Juara-Juara UEFA (UCL) yang dihuni Aston Villa.
Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling menyerang bagi mendapatkan kelebihan gol awal.
Spurs terlebih dahulu mengancam kubu pertahanan pelawat menerusi percubaan Brennan Johnson pada minit keenam tetapi dinafikan Ederson.
Josko Gvardiol berharap dapat meneruskan rentak jaringan apabila cuba melakukan rembatan pada minit ke-39. Malangnya, percubaan pemain Croatia itu tinggi dan tersasar.
Spurs dan The Citizens terus berusaha untuk memecah kebuntuan perlawanan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, City yang dibimbing bekas pengendali Barcelona, Pep Guardiola semakin garang memburu gol pendahuluan.
Penantian mereka berakhir pada minit ke-51 menerusi penjaring terbanyak EPL ketika ini, Haaland. De Bruyne membuat hantaran dalam kotak penalti Spurs yang mudah ditolak penyerang Norway itu melepasi penjaga gol, Guglielmo Vicario.
City kemudiannya terpaksa membuat pertukaran penjaga gol pada minit ke-69 apabila Ederson berlaga dengan bek tengah Spurs, Cristian Romero.
Meskipun penjaga gol Brazil itu tidak mengalami kecederaan serius, Guardiola enggan mengambil risiko. Beliau mengarahkan Ederson dikeluarkan dan digantikan dengan Stefan Ortega.
Tuan rumah berpeluang menjaringkan gol pembukaan menerusi Heung-min pada minit ke-87. Malangnya, percubaan tepat penyerang Korea Selatan itu dinafikan Ortega.
The Citizens kemudiannya mendapat peluang menggandakan kelebihan apabila diberi sepakan penalti oleh pengadil, Simon Hopper. Ini selepas Pedro Porro dikesan menjatuhkan pemain gantian, Jeremy Doku dalam kotak penalti.
Sepakan penalti itu mudah disempurnakan Haaland pada minit ke-91. Keputusan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan.
Dua gol yang disumbang Haaland hari ini menyaksikan beliau dipilih Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan City kembali merampas kedudukan pendahulu liga daripada Arsenal dengan 88 mata. The Citizens kini memerlukan satu lagi kemenangan ke atas West Ham pada Ahad ini untuk muncul juara buat kali keempat berturut-turut.
Sementara cita-cita Spurs untuk kembali ke UCL tidak kesampaian kerana masih mengumpul 63 mata. Ini sekaligus menjamin Villa sebagai pasukan keempat bersaing dalam kejohanan itu pada musim hadapan kerana memiliki 68 mata.
Tottenham menutup EPL musim 2024/25 dengan turun menentang Sheffield United di Bramall Lane pada 19 Mei. Sementara The Citizens bakal melayan The Hammers di Stadium Etihad pada hari sama.