Penghujung musim Liga Perdana Inggeris (EPL) yang hambar buat Manchester United apabila kecundang kepada Arsenal di Old Trafford pada awal pagi Isnin.
Kedua-dua pasukan kini terdesak untuk memungut tiga mata setelah Arsenal memulakan perlawanan di tangga kedua liga, dua mata ketinggalan kepada Manchester City yang cemerlang membelasah Fulham semalam.
Manchester United pula sedang dirudum malang apabila dibelenggu isu kecederaan pemain selain masalah prestasi pasukan setelah sekadar mencatatkan satu kemenangan dalam lapan aksi terakhir liga.
Benteng pertahanan United yang dikemudi oleh Casemiro dan Johnny Evans kelihatan sedikit longgar apabila mudah dibocori oleh jentera serangan Arsenal yang diketuai Bukayo Saka.
Hasilnya, pemain sayap Belgium, Leandro Trossard berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-20 selepas menyambar hantaran lintang Kai Havertz untuk Arsenal memimpin permainan.
Tuan rumah cuba bangkit dengan beberapa gerakan menerusi pemain lincah seperti Amad Diallo dan Alejandro Garnacho namun ketumpulan penyudah buatkan United terus kempunan
Separuh masa pertama tamat dengan Arsenal memiliki kelebihan 1-0.
Bersambung babak kedua, anak-anak buah Mikel Arteta terus rancak melancarkan serangan demi serangan dengan rembatan kapten pasukan, Martin Odegaard mudah ditangkap kemas Andre Onana di pintu gol.
Pemain sayap, Alejandro Garnacho miliki peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan buat The Red Devils pada minit ke-76 namun rembatan kaki kirinya sedikit tersasar.
Kemasukan beberapa pemain muda oleh United pada penghujung permainan tidak berupaya merubah keputusan perlawanan sehingga tamat aksi sekaligus menyaksikan kemenangan 1-0 berpihak Arsenal.
Keputusan ini meletakkan Arsenal di puncak liga buat sementara waktu sambil menunggu aksi seterusnya Manchester City manakala Manchester United kekal di tangga kelapan.
Selepas ini Manchester United bakal melayani kunjungan Newcastle United untuk aksi ke-37 sebelum turun dalam perlawanan terakhir liga menentang Brighton and Hove Albion di laman lawan.
Manakala Arsenal yang berbaki satu lagi perlawanan menentang Everton minggu hadapan perlu mengharapkan pendahulu liga, Manchester City keciciran mata dalam baki aksi yang dimiliki.