Man City semakin hampir mempertahankan mahkota kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan membelasah Fulham 4-0 di Craven Cottage.
City perlu menang baki tiga perlawanan termasuk perlawanan hari ini jika ingin merangkul trofi EPL buat kali keempat berturut-turut.
Sementara Fulham mahu memintas Wolverhampton Wanderers selepas berada di kedudukan ke-13 ketika ini dalam liga.
Meskipun beraksi di tempat lawan, The Citizens yang dikawal Pep Guardiola mendominasi tuan rumah menerusi jentera serangan mereka diketuai Erling Haaland.
Dan City tidak menunggu lama berada di hadapan menerusi pemain pertahanan Croatia, Josko Gvardiol pada minit ke-12.
Selepas bermain satu dua dengan kapten, Kevin De Bruyne, Gvardiol membuat larian ke dalam kotak penalti sebelum menewaskan penjaga gol The Cottagers, Bernd Leno.
City terus berusaha memburu gol tambahan tetapi barisan pertahanan tuan rumah bekerja keras memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Fulham yang dibimbing Marco Silva memasukkan Adama Traore dan Tom Cairney untuk menambah sengat di bahagian serangan.
Dan tuan rumah hampir mendapat gol penyamaan menerusi penyerang Brazil, Rodrigo Muniz pada minit ke-56. Walau bagaimanapun, tolakan yang dilakukannya berjaya diselamatkan Ederson.
Situasi ini mendorong City meningkatkan serangan ke atas kubu tuan rumah. Pelawat menggandakan kelebihan jaringan menerusi Phil Foden pada minit ke-58 – gol ke-25 beliau musim ini.
Gvardiol memastikan kedudukan The Citizens makin selesa dengan gol ketiga pada minit ke-70. Meskipun pemain Fulham mendakwa beliau berada pada kedudukan ofsaid, gol tersebut disahkan oleh sistem bantuan video pengadil (VAR).
Situasi ini membolehkan Guardiola membuat beberapa pertukaran pemain sebagai persediaan untuk aksi menentang Tottenham Hotspur pada awal pagi 15 Mei.
City kemudiannya mendapat sepakan penalti apabila Issa Diop dikesan menjatuhkan pemain pelawat pada minit akhir perlawanan. Julian Alvarez memastikan City pulang ke Manchester dengan kemenangan 4-0.
Sofascore memilih Bernardo Silva sebagai pemain terbaik perlawanan hari ini dengan 8.5 mata, 0.4 mata di hadapan De Bruyne dan Gvardiol.
Keputusan hari ini dijangka memberi tekanan kepada Arsenal yang perlu menewaskan Manchester United di Old Trafford dalam aksi terbaru liga esok.
Selepas ini, City akan berhadapan Spurs di London pada awal pagi 15 Mei. Sementara Fulham pula akan berhadapan Luton Town untuk aksi terakhir liga pada 19 Mei.