Advertisement
“Peluang Mereka Masih Ada” – Razman Roslan
Harimau Malaya
MakanBola
Astro Arena

Lagenda bola sepak Malaysia, Razman Roslan menyifatkan peluang untuk mana-mana pemain dalam senarai bersedia masih terbuka untuk merebut tempat ke Piala Asia.

Bekas pertahanan Selangor itu memberi penjelasan kepada Astro Arena berkenaan situasi kem kebangsaan yang sedang melakukan persiapan sebelum melangkah ke Qatar tidak lama lagi.

Katanya, para pemain yang telah dipanggil oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon merupakan barisan pemain terbaik yang dimiliki ketika ini.

“Detik ini sudah dinanti sejak sekian lama setelah Kim Pan-gon mengambil alih tahun lalu selain penambahan pemain baharu seperti Romel Morales jika dilihat dari sudut positif, ia merupakan tambahan yang baik buat Harimau Malaya.”

Beliau bagaimanapun yakin peluang pemain dalam senarai bersedia masih ada sekiranya mana-mana pemain mengalami kecederaan yang serius.

“Peluang mereka masih ada, tetapi bergantung kepada keadaan pemain yang dipanggil bersama Harimau Malaya. Pemain yang berada dalam senarai bersedia perlu mempersiapkan diri sebaik mungkin.”

“Kita tidak tahu sama ada berlakunya kecederaan dalam senarai pemain yang dipanggil dan pasukan memerlukan bantuan pada saat akhir,” jelas Razman kepada Astro Arena.

Pada sidang media tempoh hari, Kim Pan-gon memberi bayangan bahawa senarai pemain yang dipanggil ke kem latihan tidak akan mengalami perubahan besar sebelum berangkat ke Qatar.

Malaysia berada pada momentum terbaik selepas merekodkan tambahan +26.1 mata untuk melonjak kedudukan 130 dunia berbanding 137 dunia tempoh hari.