Rakyat Malaysia berpeluang menzahirkan sokongan padu kepada pasukan bola sepak Palestin dalam aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.
Ini selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan pemilihan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebagai venue neutral Singa Kanaan untuk aksi kelayakan.
Sebelum ini, PFA mencari gelanggang neutral untuk aksi pusingan ketiga kelayakan susulan konflik Israel-Palestin di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023.
Ini membawa kepada perbincangan antara Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) dengan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin baru-baru ini. Susulan itu, satu kesepakatan dicapai dengan Hamidin menawarkan Malaysia sebagai venue neutral.
Ini membawa kepada pemilihan stadium keramat kelab Lembah Klang, KL City FC sebagai gelanggang neutral untuk aksi kedua kelayakan pada 10 September.
Ini bukan kali pertama Malaysia menjadi pilihan sebagai venue neutral. Sebelum ini, Malaysia dipilih sebagai venue neutral untuk aksi playoff pertama Piala Dunia 2018 antara Syria dan Australia di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 5 Oktober 2017.
Keputusan ini membolehkan peminat bola sepak negara dapat memberi sokongan kepada anak buah Makram Daboub itu. Ini sekaligus menebus kekecewaan tidak dapat melihat Palestin beraksi dalam saingan Pestabola Merdeka 2023.
Palestin sepatutnya beraksi dalam kejohanan itu bersama Malaysia, Tajikistan dan India. Walau bagaimanapun, konflik Israel-Palestin yang tercetus pada Oktober 2023 menghalang pasukan itu daripada menyertai kejohanan berkenaan.
Terdahulu, Singa Kanaan layak ke pusingan ketiga kelayakan selepas muncul naib juara Kumpulan I. Mereka akan berentap dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, Jordan, Iraq, Oman dan Kuwait.